Exco Pemuda UMNO, Shahril Hamdan hari ini mempersoalkan kegagalan Pakatan Harapan menunaikan 10 janji yang termaktub dalam manifesto pilihanraya 14 yang lalu.
Menulis di Facebooknya, Shahril menggariskan 10 janji Pakatan Harapan selepas 100 hari memerintah berserta status terkini janji-janji tersebut.
Untuk rekod, Pakatan Harapan belum memerintah selama 100 hari.
Berikut adalah penulisan oleh Shahril Hamdan seperti yang terpapar di Facebooknya;
APA STATUS 10 JANJI 100 HARI PERTAMA KERAJAAN PAKATAN HARAPAN?
Hari ini genap 2 bulan sejak Pakatan Harapan memegang tampuk pentadbiran kerajaan. Bermakna kurang 40 hari untuk mereka menunaikan 10 janji 100 hari mereka.
Semakan terhadap janji tersebut adalah seperti ini:
1) Menghapuskan GST dan mengurangkan kos sara hidup dengan pelbagai inisiatif peduli rakyat.
Belum ditunaikan!
GST belum dihapuskan, hanya dikadar sifarkan. Dijangka akan ada pembentangan memansuh akta GST pada sidang Dewan Rakyat bermula minggu depan. Kadar sifar GST tidak terbukti mengurangkan harga barangan. Tiada juga pengenalan apa-apa inisiatif peduli rakyat.
2) Menstabilkan harga minyak dan memperkenalkan semula subsidi petrol secara bersasar.
Belum terlaksana!
Harga RON95 sebelum PRU-14 masih kekal dan akan terus kekal sehingga akhir tahun. Kerajaan tidak melaksanakan subsidi bersasar sebaliknya kembali semula kepada subsidi pukal yang memberi lebih banyak kelebihan kepada golongan berpendapatan tinggi berbanding golongan yang memerlukan. Sistem subsidi pukal sebelum ini dikritik oleh badan antarabangsa seperti Bank Dunia.
3) Menghapuskan hutang-hutang tidak wajar yang dipaksa ke atas peneroka FELDA.
Belum dilaksana!
Masih belum ada perkembangan lanjut berkaitan janji ini. Sebaliknya terdapat aduan dari peneroka FELDA yang masih belum menerima pembayaran wang sara hidup bulanan.
4) Memperkenalkan skim caruman KWSP untuk suri rumah
Ditangguhkan!
Kerajaan memberi alasan masalah kewangan negara menyebabkan janji ini tidak dapat dilaksanakan buat masa ini. Kerajaan juga memberi alasan peruntukan undang-undang tidak membenarkan perkara ini. Tiada kepastian sama ada akan terdapat pindaan terhadap akta KWSP pada sesi parlimen akan datang.
5) Menyamaratakan gaji minimum seluruh negara dan seterusnya memulakan proses meningkatkan gaji minimum.
Belum tertunai!
Menteri Tenaga Kerja telah menyatakan gaji minimum baharu sektor swasta akan diumumkan pada bulan Ogos. Perintah Gaji Minimum setiap 2 tahun yang diperkenalkan kerajaan BN sememangnya akan tamat pada tahun ini selepas pelarasan terakhir pada 2016. Tun Dr Mahathir sebelum ini pernah menyatakan gaji minimum akan menjejaskan peniaga kecil.
6) Menangguhkan pembayaran balik pinjaman PTPTN kepada semua peminjam yang mendapat gaji kurang dari RM4000 sebulan dan memansuhkan dasar senarai hitam ke atas peminjam.
Hanya sebahagian!
Peminjam yang disenarai hitam sebelum ini telah dibebaskan dari sekatan perjalanan namun penangguhan bayaran sehingga gaji RM4,000 tidak dapat dilaksanakan atas alasan kedudukan kewangan negara.
7) Menubuhkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja 1MDB, FELDA, MARA dan Tabung Haji, dan merombak semula struktur kepimpinan mereka.
Tiada Suruhanjaya DiRaja ditubuhkan, siasatan hanya diperingkat jawatankuasa siasatan.
8] Menubuhkan Jawatankuasa Khas Kabinet untuk segera menyemak dan melaksanakan Perjanjian Malaysia 1963.
Tiada perkembangan!
Sebaliknya Petronas telah memfailkan petisyen bagi mendapat perisytiharan memiliki kuasa eksklusif bagi mengawal selia industri minyak dan gas di seluruh Malaysia, termasuk Sarawak.
9) Memperkenalkan Skim Peduli Sihat dengan memberi RM500 pembiayaan untuk rawatan asas di klinik swasta berdaftar untuk golongan B40.
Belum ditunaikan!
Kerajaan baru hendak menubuhkan jawatankuasa khas bagi mengkaji skim ini.
10) Melancarkan kajian terperinci mengenai projek-projek mega yang dianugerahkan kepada negara asing.
Belum terlaksana!
Tiada apa-apa hasil kajian secara lanjut dibentangkan untuk apa-apa projek mega. Sebaliknya kos pembinaan ECRL naik dari RM55 bilion kepada lebih RM80 bilion di bawah pentadbiran PH.
0 Comments