Pasukan inkues lihat kerosakan van EMRS dinaiki Adib kali ke-2


Pasukan pendakwaan, peguam dan saksi menghabiskan kira-kira sejam di Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya hari ini untuk melihat kerosakan van EMRS yang dinaiki Muhammad Adib Mohd Kassim.
SHAH ALAM: Pasukan pendakwaan, peguam dan saksi dalam inkues menentukan kematian Muhammad Adib Mohd Kassim, sekali lagi dibawa ke Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya untuk menyaksikan sendiri kerosakan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) yang dinaiki anggota bomba itu dalam rusuhan di luar Kuil Sri Maha Mariamman pada 27 November lalu.

Lawatan itu diadakan sejurus selepas Hakim Mahkamah Koroner, Rofiah Mohamad membenarkan permohonan timbalan pendakwa raya, Hamdan Hamzah, kerana subjek siasatan membabitkan van itu, khususnya pintu kiri yang dilaporkan menjadi antara punca Adib cedera.

“Mohon untuk beri peluang lihat semula EMRS itu dan semua bukti berkaitan,” kata Hamdan di Mahkamah Koroner Shah Alam hari ini.

Sementara itu, pegawai pengendali inkues, Faten Hadni Khairuddin berkata, tujuan melihat van itu untuk memastikan keputusan dibuat mereka berdasarkan bukti sebenar.



Antara saksi yang turut menyertai lawatan hari ini adalah bekas pakar perunding kanan forensik dan patologi Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Dr Shahrom Abd Wahid dan pakar forensik Hospital Kuala Lumpur, Dr Ahmad Hafizam Hasmi yang menjalankan bedah siasat ke atas jenazah Adib.

Semalam, Shahrom ketika memberi keterangan kepada inkues itu berkata, beliau tidak pergi ke lokasi rusuhan semula kerana memadai untuk beliau memberi pandangannya berdasarkan “bahan mencukupi” yang dibekalkan pihak berkuasa.

Katanya, Adib mungkin ditarik keluar dari tempat duduk depan van EMRS berdasarkan kecederaan di badannya.

Terdapat luka sagat di belakang pinggang Adib dan pakaiannya kehilangan 3 butang.

Bagaimanapun, Hafizam dilaporkan berkata, kecederaan Adib tidak sepadan tumbuhan atau tendangan, sebaliknya ia disebabkan impak terlanggar pintu kiri van EMRS.

Beliau tidak menolak kemungkinan Adib cedera akibat terhimpit 2 permukaan keras.

Ini bukan kali pertama pasukan pendakwaan, peguam dan saksi dibawa melihat van EMRS. Mereka pernah berbuat demikian pada 12 Februari lalu, hari ke-2 inkues bermula.

Post a Comment

0 Comments