Batalkan bil elektrik semasa PKP, hargai kesetiaan rakyat – TUNTUT

Pengerusi Gerakan Tuntut Malaysia (TUNTUT), A'zlan Abu Bakar bercakap kepada media selepas selesai membuat laporan polis berkaitan kesahihan dokumen salah guna kuasa Tommy Thomas dan Lim Guan Eng berhubung kes 1MDB di IPD Petaling Jaya, Selangor.
KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) digesa membatalkan bil elektrik pengguna sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk tiga bulan lalu.
Pengerusi Gerakan Tuntut Malaysia (Tuntut), A’zlan Abu Bakar menegaskan, langkah itu wajar diambil sebagai satu penghargaan TNB kepada kesetiaan rakyat yang melanggan perkhidmatan itu sejak berpuluh tahun lamanya.
Mat Sabu didesak kotakan janji beri bonus, kekalkan kadar dividen ...
“Biarlah ia kali pertama atau sekali ini TNB memberikan penggunaan percuma sepanjang tempoh tiga bulan PKP ini untuk penggunaan kediaman rumah atau sumber elektrik 1 fasa.
“Percayalah, ramai pengguna yang terkesan teruk akibat PKP sehingga ada yang kehilangan sumber pendapatan.
“Dengan cadangan ini memohon ihsan TNB untuk menghargai pengguna yang setia selama ini dapatlah menyuntik semangat kepada mereka tanpa tekanan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, kadar penggunaan elektrik dalam sektor kediaman dilaporkan meningkat kira-kira 23 peratus sepanjang tempoh PKP berbanding penurunan 33 peratus penggunaan elektrik secara keseluruhannya di Semenanjung Malaysia.
Dalam pada itu, tidak dinafikan bahawa TNB adalah sebuah syarikat perniagaan dan bukanlah sebuah badan yang bersifat sepenuhnya sebagai kerajaan rakyat.
“Sudah pasti sesebuah perniagaan mengutamakan keuntungan. Namun begitu, TNB tidak wujud persaingan yang menyediakan perkhidmatan sumber elektrik ini.
“Ini juga menjadikan rakyat sebagai pengguna tiada pilihan dalam memilih perkhidmatan TNB sahaja jika melibatkan sumber elektrik.

“Sudah tiba masanya pengguna merasai penghargaan daripada TNB buat pertama kali memberikan caj percuma selama 3 bulan sepanjang tempoh PKP lalu,” katanya.

Langkah pengecualian bayaran ini mampu membantu keseluruhan rakyat yang sangat terkesan dengan sepanjang tempoh PKP yang kehilangan sumber pendapatan.
“Rakyat melahirkan rasa kekecewaan dan bebanan kewangan terlampau, ditambah pula dengan penyata bil elektrik yang diterima daripada TNB.
“Banyak perkara yang dipertikaikan oleh rakyat selaku pengguna dengan tindakan prorata untuk penjumlahan bil elektrik ini.
“Perkara ini harus dilihat dengan apa yang kita sebagai rakyat Malaysia bersama-sama sedang lalui akibat Covid-19 ini,” katanya.
Menurut A’zlan, TNB mencatatkan peningkatan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak 18.7 peratus kepada RM4.45 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019 (TK2019) berbanding RM3.75 bilion pada 2018 yang diumumkan pada 8 Februari 2020 sebulan sebelum bermulanya PKP pada bulan Mac.
“Percayalah bahawa kejayaan ini adalah hasil dari sokongan pengguna selama ini yang setia bersama TNB.
“Kami juga akan menyerahkan memorandum pengguna kepada pihak TNB untuk dipertimbangkan,” katanya lagi.

TNB perlu jelaskan teknik pengiraan bil elektrik

SEMENTARA itu, Tenaga Nasional Berhad (TNB) digesa memberi penjelasan yang lebih mudah bagi membantu rakyat memahami teknik pengiraan bil elektrik yang melambung sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Ahmad Amzad Hashim berkata, beliau mengikuti isu rungutan bil elektrik melambung sepanjang tempoh itu dan memahami rungutan rakyat khususnya dari kawasan Parlimennya di Kuala Terengganu.
Menurutnya, rakyat menerima bil yang luar biasa lebih tinggi daripada kebiasaan dan apabila jumlah bil untuk tiga bulan sepanjang PKP dibahagi kepada tiga bulan bagi mendapatkan purata sebulan, purata sebulan itu sangat ketara tingginya berbanding bil bulanan yang biasa.
Katanya, disebabkan itu ia menyebabkan kekeliruan di kalangan rakyat terutama dalam memahami teknik pengiraan bil elektrik tersebut.
“Sebab itu rakyat perlukan penjelasan sama ada kemungkinan berlaku kesilapan teknikal oleh pihak TNB dalam melakukan pengiraan.
“Mungkin juga hanya sebahagian pengguna terlibat dan saya dimaklumkan mekanisme pengebilan ini juga telah disemak dan dipersetujui oleh Suruhanjaya Tenaga (Energy Commission of Malaysia),” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.
Katanya, beliau juga maklum bahawa kerajaan sudah mengeluarkan beberapa solusi untuk meringankan beban rakyat antaranya TNB tidak mengenakan caj berlebihan kepada para pengguna, pelan bayaran mudah ansuran sehingga 31 Disember 2020 serta diskaun pakej Rangsangan Ekonomi untuk tempoh penggunaan mulai 1 April hingga 30 September 2020.
Sebelum ini, kadar penggunaan elektrik dalam sektor kediaman dilaporkan meningkat kira-kira 23 peratus sepanjang tempoh PKP berbanding penurunan 33 peratus penggunaan elektrik secara keseluruhannya di Semenanjung.
Bagaimanapun Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah mengesahkan tiada sebarang kesilapan berlaku dalam pengiraan bil oleh TNB yang didakwa melambung tinggi sepanjang tempoh tersebut dan memberitahu perkara itu kemungkinan berlaku disebabkan salah faham segelintir pengguna yang keliru dengan kaedah pengiraan dilakukan syarikat utiliti terbabit.
Dalam pada itu, Ahmad Amzad yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu turut menyarankan TNB untuk membuat semakan semula bil yang dibuat aduan bagi meredakan keresahan rakyat.
Katanya, sekiranya ada kelemahan pada kaedah pengiraan sehingga berlaku tambahan bebanan kepada pengguna yang bukan akibat penggunaan elektrik yang luar biasa tetapi oleh kaedah pengiraan yang mengikut blok tarif ditentukan yang bertambah luar biasa kerana ia dijumlahkan untuk tiga bulan, hal itu perlu diselesaikan.
“Mesti dicari jalan untuk menjadikan hasil kiraannya normal dan tidak luar biasa bebanannya kepada rakyat.
“Selain itu, orang ramai yang merasakan bil elektrik mereka kurang munasabah dengan penggunaan diminta membuat aduan dan mendapatkan penjelasan daripada pihak TNB melalui talian khidmat pelanggan atau terus ke kaunter TNB,”katanya.

Post a Comment

0 Comments