KUALA LUMPUR: Polis kini hanya menunggu laporan perubatan anak angkat usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri yang didakwa didera sebelum kertas siasatan diserahkan kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya (TPR).
Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed, berkata siasatan berhubung kes itu termasuk proses merakam keterangan semua saksi, sudah selesai.
“Kertas siasatan akan diserahkan kepada DPP dalam masa terdekat. Kita hanya menunggu laporan perubatan daripada pihak hospital,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Pencegahan Jenayah dan Mini Townhall ‘Malaysiaku Aman dan Selamat’ di Dewan Serbaguna SS 3/14, Petaling Jaya, dekat sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan usahawan kosmetik itu didakwa memukul dan mencubit kanak-kanak perempuan berusia dua tahun itu pada 28 Februari lalu sebelum pembantu rumahnya warga Indonesia membuat laporan polis keesokannya.
Aliff turut ditahan namun dibebaskan dengan jaminan polis, manakala anak angkatnya diserahkan kepada pembantu peribadinya untuk dijaga sementara atas nasihat pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Petaling Jaya.
Terdahulu dalam sesi soal jawab bersama penduduk, Arjunaidi berkata, penurunan kadar jenayah yang direkodkan di Selangor bagi tempoh 2018 hingga 2019 adalah hasil kerjasama polis dengan masyarakat.
“Dalam tempoh itu, penurunan kadar jenayah direkodkan di seluruh negeri ini adalah sebanyak 7.2 peratus. Kejayaan ini sebahagian daripada usaha dan peranan masyarakat yang bersama pihak polis membanteras jenayah,” katanya.
Mengenai tahap kesedaran masyarakat mengenai jenayah penipuan seperti Macau Scam dan Parcel Scam, beliau menjelaskan, polis akan cuba neningkatkan kempen kesedaran semua lapisan masyarakat.
“Kebanyakan masyarakat kita sedar dengan taktik penipuan sedemikian, namun banyak kes kerana mangsa cepat panik bila mendapat panggilan telefon daripada anggota sindiket penipuan sehingga mereka terlupa.
“Bila selesai semua transaksi, barulah mangsa tersedar menjadi mangsa penipuan,” katanya.
0 Comments